Bapa, anak maut kereta langgar tembok jambatan
KUALA PILAH: Dua beranak maut manakala dua yang lain cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta yang dinaiki sekeluarga yang merempuh tembok jambatan di Kilometer 21, Jalan Kuala Pilah-Tampin, dekat Masjid Jamek Pekan Johol, di sini, petang tadi.
Difahamkan, pemandu kenderaan iaitu lelaki berusia 64 tahun dan anak lelakinya berusia 31 tahun yang duduk di tempat duduk belakang disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.
Dua ahli keluarga yang lain iaitu isteri pemandu kereta, berusia 62 tahun dan anak perempuan berusia 28 tahun cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Gani berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka menghala ke Johol di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa iaitu Perodua Axia telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tembok jambatan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan seorang penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua penumpang lagi telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amran lagi, kes disiasat di bawah Seksyen (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terbabit nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 43.7, Jalan Seremban-Tampin, dekat Kendong, Rembau, petang tadi.
Mangsa, Muhammad Amirul Muhaimin Mohd Radhi, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, Melaka maut di lokasi dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dinaiki dua beranak, kereta jenis Toyota Camry dinaiki empat individu berusia 31 tahun hingga 75 tahun dan motosikal jenis Honda RS 150 ditunggangi seorang lelaki berusia 25 tahun.
“Siasatan awal mendapati MPV berkenaan dari arah Tampin menghala ke Seremban dinaiki dua beranak dan Toyota Camry serta Honda RS 150 pula dari arah bertentangan.
“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Camry yang dipandu lelaki berusia 46 tahun hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu melanggar kenderaan MPV tersebut.
“Motosikal yang datang dari arah belakang kereta Toyota Camry tidak dapat mengelak lalu melanggar sisi Toyota Camry. Akibat kemalangan itu, penumpang MPV mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu iaitu bapanya berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya beliau.
Ujar Shaik Abd. Kadar lagi, pemandu serta penunggang lain juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan punca kemalangan didapati kereta jenis Toyota Camry gagal mengawal kenderaan sehingga masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan kereta Nissan Serena.-UTUSAN.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source