Pencapaian dua emas patut dibanggakan
SEPANG – Lebih 200 peminat sukan negara membanjiri balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut ketibaan kontinjen Malaysia yang baru pulang daripada Sukan Paralimpik Paris 2024 malam ini.
Meskipun tidak dapat mencapai sasaran empat pingat emas yang diletakkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), namun barisan atlet para negara tetap diberikan penghargaan dengan sambutan cukup meriah.
Kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr. K. Nagulendran turut menambah seri majlis sambutan tersebut.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, pencapaian dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa masih boleh dibanggakan biarpun sasaran yang diletakkan gagal dicapai.
“Pertama sekali saya nak nyatakan bahawa sasaran tidak jauh tersasar. Kalau dilihat pada Sukan Paralimpik Tokyo (2020), jumlah pingat yang dimenangi masih sama (lima pingat keseluruhan).
“Sasaran di peringkat awal dibuat MPM, kita sambut baik dan MSN menyokong sasaran tersebut tetapi ia tidak dapat dicapai. Kita akui tidak berjaya tetapi mereka sudah cuba dapatkan emas,” katanya pada sidang akhbar di KLIA sebentar tadi.
Atlet dan pegawai kontinjen para negara yang menaiki penerbangan Oman Air WY823 selamat mendarat di KLIA pada pukul 8.10 malam.
Terdahulu, pada Paralimpik Paris yang menutup tirainya awal pagi semalam, kontinjen Malaysia menamatkan saingan di tangga ke-42 keseluruhan selepas meraih lima pingat, termasuk dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Dua pingat emas itu hadir menerusi jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori 72 kilogram (kg) lelaki.
Pingat perak disumbangkan Datuk Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) serta atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam kategori F20 (kecacatan intelektual).
Sementara itu, gangsa tunggal dimenangi seorang lagi atlet olahraga, Eddy Bernard dalam acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal). – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source