Kondo mewah jadi ‘stor’ dadah bernilai RM1.6 juta
KUALA LUMPUR – Seramai tiga ahli sindiket pengedaran dadah diberkas dalam satu serbuan yang dijalankan di sekitar ibu negara dan Selangor, Isnin lalu.
Taktik licik sindiket yang menjadikan sebuah kediaman kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan dan pengedaran dadah berkenaan terbongkar apabila suspek berusia 23 hingga 30-an ditahan sekitar Cheras, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur pada 11.35 pagi hingga 5 petang.
“Kita merampas satu beg berwarna hijau dijinjit oleh suspek pertama yang mengandungi dadah jenis ketamin anggaran berat 10.5 kilogram (kg) bernilai setengah juta ringgit.
“Susulan tangkapan tersebut, berpandukan suspek, pasukan polis telah melakukan serbuan di sebuah rumah jenis kondominium di Cheras Perdana pada hari sama.
“Hasil penggeledahan di rumah itu berjaya membawa kepada penemuan tiga bungkusan plastik lutsinar berisi dadah disyaki ekstasi seberat 5.2 kg dan dua lagi bungkusan plastik putih mengandungi ketamin seberat 4 kg,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Jelasnya, sindiket berkenaan mendapatkan bekalan dadah dari luar negara di utara Semenanjung iaitu Thailand sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Modus operandi mereka adalah dengan menjadikan rumah kediaman sebagai stor simpanan.
“Bekalan yang dibawa masuk ke dalam negara akan disimpan oleh sindiket di unit kondominium mewah yang disewa dengan kadar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.
“Kita menyita wang tunai berjumlah RM900, barang kemas bernilai RM4,000, kereta Perodua Myvi bernilai RM62,000 dipercayai digunakan sindiket untuk pengedaran dadah,” ujarnya.
Menurut beliau, suspek pertama dan kedua dikesan positif tetrahydrocannabinol (THC) dan ketamin.
“Mereka dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan nilai rampasan keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
“Kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 9 September mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source