SG4 kukuhkan ekonomi empat negeri, rizab dolomite Perlis 1.5 bilion tan metrik
KANGAR: Kerjasama empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) mampu memberi nilai tambah terutamanya dalam mengukuhkan ekonomi empat negeri di bawah gabungan tersebut.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, Perlis masih dikategorikan negeri yang berkurangan hasil mahsulnya dan oleh itu amatlah baik sekiranya negeri yang berkelebihan hasil mampu bersama menstabilkan ekonomi Perlis.
Bagaimanapun katanya, hasil dari Perlis terutama dalam sektor dolomite walaupun tidak banyak diharapkan turut dapat mampu membantu negeri-negeri lain.
“Antara sumber di Perlis antaranya seperti dolomite yang merupakan sejenis mineral dan batuan terdiri daripada kalsium magnesium karbornat.
“Anggaran rizab dolomite di Perlis adalah sebanyak 1.5 bilion tan metrik. Anggaran pengeluaran dolomite mentah pula sebanyak lima juta tan metrik setahun dan nilai royalti sebanyak RM2 juta setahun, bagi tempoh 127 tahun.
“Pengeluaran dolomite bagi tahun 2023 sebanyak 428,446 tan metrik dengan nilai RM34.28 juta setahun,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan empat negeri dikuasai PN menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) bagi membolehkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkongsi kekayaan secara saksama.
Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4),Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, setiap negeri akan mempunyai 25 peratus pegangan dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.
Tambah Mohd. Shukri, selain itu, Perlis juga mempunyai sektor tenaga solar dengan status penjanaan tenaga solar di negeri ini adalah sebanyak 110 mega watt (MW).
“Ia membabitkan tanah persendirian sebanyak 106.5 MW dan bumbung bangunan sebanyak 3.5 MW. Ladang Solar di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) sedang berjalan dan mengambil seluas 337.33 ekar di plot solar CVIA.
“Pembangunan ladang solar terapung di empangan Timah Tasoh sedang berjalan proses kajian. Hasil kajian dapat membantu kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuat pertimbangan berhubung cadangan pembangunan ladang solar terapung ini.
“Kajian ini adalah penting memandangkan empangan Timah Tasoh merupakan satu-satunya sumber bekalan air domestik Perlis, sumber pengairan kawasan pertanian dan tarikan pelancong serta aktiviti rekreasi air,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shukri memberitahu, peningkatan ekonomi di Perlis pada tahun 2023 mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus iaitu sebanyak RM6.3 bilion berbanding tahun sebelum sebanyak RM6.2 bilion.
Katanya, ia membabitkan sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 2.3 peratus (70.2 peratus) yang memberikan nilai tambah sebanyak RM4.5 bilion.
“Diikuti sektor pertanian (17.4 peratus) dan pembuatan (7.6 peratus) serta diikuti sektor pembinaan (2.5 peratus) dan sektor perlombongan dan pengkuarian (0.5 peratus).
“Perlis diletakkan sebagai negeri pertanian kerana 65 peratus tanah negeri adalah tanah pertanian. Walau bagaimanapun dengan kemasukan pelaburan ke CVIA ini mampu meningkatkan ekonomi di negeri Perlis,” katanya.-UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source