Larangan penjualan Kopi Pejuang, dikesan ada ubat mati pucuk
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mengesahkan produk Kopi Pejuang dikesan mengandungi tadalafil iaitu sejenis ubat digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.
KKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui PKKM menegaskan produk makanan disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau setiap masa.
“Hasil tindakan penguatkuasaan terkini PKKM mendapati produk Kopi Pejuang dikesan mengandungi tadalafil.
“Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran.
“Ia juga menyebabkan penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya hari ini.
Susulan itu, semua peniaga termasuk secara dalam talian yang masih mempunyai stok produk diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk.
Mereka juga perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
Semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
Dalam pada itu, KKM berkata, label produk tersebut juga didapati tidak mematuhi kehendak label di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang/ pembungkus / pengedar / empunya hak untuk mengilang atau pengimport.
“Sehubungan itu, produk tersebut tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” ujarnya.
Mengulas lanjut, KKM berkata, sejak tahun 2021 hingga Julai 2024, sebanyak 500 sampel kopi pelbagai jenama telah dianalisa bagi parameter racun berjadual di mana tujuh sampel didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source