Takut tengok ombak kuat, penduduk lari keluar rumah
YAN – Fenomena air pasang besar di Kampung Kuala Dulang Besar, di sini tengah hari tadi mengakibatkan lima rumah terletak berhampiran laut di situ dimasuki air.
Penduduk, Suhaimi Ahmad, 57, berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku kali ini agak luar biasa dan cepat meningkat menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barang.
“Ketika kejadian saya bersama isteri, Masrupah Hassan, 53, sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi ombak yang kuat.
“Hanya dalam masa 10 minit air laut berserta selut memasuki rumah menyebabkan kami terkejut dan bergegas berlari keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Suhaimi yang merupakan peniaga berkata, ia merupakan kejadian banjir kilat paling teruk berlaku akibat air pasang besar sejak dia tinggal di situ 20 tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Fazam Abdul Rahim, 33, berkata, rumahnya berada di kawasan agak tinggi menyebabkan sukar dimasuki air pasang besar, namun fenomena kali ini luar biasa.
“Ketika kejadian saya dan isteri Norsyamirah Shahril, 33, berada di luar selepas rasa tidak sedap hati melihat paras air laut yang pasang dan semakin menghampiri rumah.
“Selalunya air pasang besar itu tidak melepasi benteng batu yang terletak di belakang rumah tetapi kali ini ia menyebabkan banjir kilat,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Lt.(PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada pukul 1 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi untuk meninjau keadaan.
“Air pasang besar yang turut disertai angin kencang menyebabkan lima rumah dilanda banjir kilat. Air telah mula surut dan tiada kemalangan jiwa diterima setakat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source