Pertikai lantik Anwar PM, Tengku Hassanal mahu polis ambil tindakan terhadap Muhyiddin
PETALING JAYA – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas menteri, kenyataan Muhyiddin memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titahnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.
Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
Titahnya, sungguhpun begitu, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
Menurutnya, baginda semasa itu telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan Perdana Menteri dibuat.
“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.
“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah Tengku Hasanal.
Justeru, Tengku Hasanal mahu pihak polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara danterus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapar menjadi sebuah negara maju,” titahnya lagi. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source