Datuk saudara mengaku amang seksual cucu enam tahun
KUALA KANGSAR – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya yang berusia enam tahun di Gerik.
Tertuduh berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah pondok di hadapan sebuah rumah di Kampung Kenayat di Gerik pada waktu pagi, pertengahan tahun 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum atas alasan bekerja sendiri selain menghidap penyakit batu karang dan tiada ahli keluarga yang hadir untuk membayar ikat jamin.
Rohaida kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 12 September depan sementara menunggu fakta kes dan laporan perubatan mangsa. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source