FIB kenakan enam hukuman terhadap KL City
PETALING JAYA – Nasib Kuala Lumpur City akhirnya terjawab apabila dikenakan enam hukuman selepas didapati melakukan deklarasi tidak tepat kepada First Instance Body (FIB) semasa membuat permohonan lesen kelab.
Secara keseluruhan, KL City kini terpaksa menanggung denda RM100,000, pemotongan enam mata, pembatalan dan larangan memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta sekatan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024/25.
Mengikut pecahan hukuman, tindakan terhadap lesen kebangsaan menyaksikan KL City dikenakan pemotongan enam mata, denda RM50,000 dan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025.
Berdasarkan lesen AFC, The City Boys tidak dibenarkan untuk memohon lesen AFC selama dua kitaran pelesenan kelab MFL (kitaran 2024/2025 dan 2025/2026), denda RM50,000 dan lesen AFC bagi pasukan itu yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-2024 bagi musim AFC 2024-2025 dibatalkan.
Siasatan secara menyeluruh sudah pun dilakukan melalui sistem AFC CLAS bagi mengesahkan segala deklarasi tunggakan yang menyatakan bahawa tiada sebarang tunggakan sehingga 30 Jun 2023 untuk Lesen Kebangsaan dan 31 Disember 2023 untuk Lesen AFC dengan lampiran surat sokongan daripada agensi kerajaan sebelum penilaian bagi keputusan berkenaan pemberian lesen.
Selain mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi kelab dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), hasil semakan FIB juga mendapati dokumen yang diserahkan KL City berkenaan caruman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso mengandungi maklumat tidak tepat dan tidak benar.
Ini berdasarkan pengesahan daripada agensi-agensi kerajaan melalui e-mel kepada FIB di mana agensi-agensi berkenaan juga tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang diserahkan oleh KL City kepada FIB sebelum ini.
“Dengan merujuk kepada sub-kriteria F.04, tunggakan agensi kerajaan setakat 31 Disember 2023 perlu diselesaikan sebelum 30 September 2024.
“Sekiranya pihak KL City FC gagal menyelesaikan tunggakan tersebut secara bayaran penuh pada tarikh akhir yang ditetapkan oleh pihak FIB, kegagalan ini akan dibawa ke pihak FIB dengan merujuk kepada artikel 2.4 “Licensing Sanctions” untuk tindakan dan hukuman selanjutnya,” jelas FIB menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, FIB berharap semua kelab Liga Super dapat mengambil iktibar daripada isu ini supaya tidak mengambil mudah berkaitan maklumat deklarasi yang diserahkan kepada FIB kerana badan bebas itu boleh melakukan semakan semula dan menarik Lesen Kebangsaan atau Lesen AFC sekiranya didapati bersalah dengan merujuk kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source