Sepanyol mudah ‘calar’ ego Croatia
BERLIN – Juara tiga kali, Sepanyol tidak mempunyai masalah untuk memulakan kempen Euro 2024 dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan Croatia 3-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Olimpik itu, skuad La Roja kendalian Luis de La Fuente membariskan pemain terbaik dengan Alvaro Morata, Lamine Yamal dan Nico Williams memacu jentera serangan.
Morata yang diberikan amanah menjadi kapten skuad Sepanyol ketika ini berjaya mencetak nama selaku penjaring dengan meledak gol pembukaan seawal minit ke-29.
Jaringan tersebut menaikkan semangat Sepanyol untuk menggandakan asakan dan tidak mempunyai masalah melebarkan kelebihan menjadi 2-0 menerusi percubaan Fabian Ruiz berselang tiga minit kemudian.
Dua gol pantas tersebut menyaksikan momentum Croatia semakin tidak menentu dan kesempatan itu digunakan oleh bek kanan Sepanyol, Dani Carvajal untuk meledak gol ketiga sebelum tamat babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Croata membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan pemain sayap veteran, Ivan Perisic untuk digantikan dengan Ante Budimir.
Pasukan kendalian Zlatko Dalic itu dilihat berjaya mengimbangi perlawanan selain melakukan beberapa percubaan tepat ke arah kubu La Roja.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-80 apabila Croatia diberikan sepakan penalti tetapi kesempatan tersebut gagal disudahkan oleh Bruno Petkovic dengan percubaannya berjaya ditepis penjaga gol, Unai Simon.
Namun, bola yang ditepis Simon terus ke kaki Perisic yang berjaya melakukan hantaran tepat kepada Petkovic untuk meledak gol susulan tetapi dibatalkan oleh VAR kerana Perisic sudah berada dalam kotak penalti lebih awal.
Croatia terus melakukan asakan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source