Penjawat awam berkomplot jual gelaran ‘Datuk’ palsu
MELAKA – Seorang kontraktor dan penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita bagi mendapatkan gelaran darjah kebesaran ‘Datuk’ palsu, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Low Kia Seng, 58, dan Razizam Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan tiga kertas pertuduhan, tertuduh dengan niat bersama memperdayakan Seet Xiang Lin, 38, untuk memasukkan wang berjumlah RM47,000 ke dalam akaun milik Kia Seng bagi mendapatkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk antara 1 Januari 2017 hingga 30 November 2018.
Sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM40,000 setiap seorang untuk semua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh yang mewakili Kia Seng kemudian memohon agar jaminan rendah diberikan kerana anak guamnya telah membayar jaminan RM20,000 bagi kes lain sejak November 2022.
Katanya, pendapatan tertuduh sebagai kontraktor turut terjejas kerana pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah, sekali gus urusan perniagaannya di Singapura tidak dapat dilakukan.
Sementara itu, Razizam diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan minimum RM10,000 tidak bercagar dengan alasan lelaki itu hanya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan menanggung empat anak yang masih bersekolah serta ayah uzur.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 terhadap Kia Seng, manakala Razizam dikenakan RM15,000 jaminan bercagar dan RM15,000 tidak bercagar.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 5 Julai depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source