Tragedi Helikopter TLDM: Kdr Mohamad Amir tulang belakang keluarga
SEGAMAT – Pemergian Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Mohamad Amir Mohamad disifatkan kehilangan besar buat seluruh ahli keluarganya.
Menurut bapanya, Mohamad Borak, 71, Mohamad Amir merupakan tulang belakang keluarga yang banyak membantu dari segi kewangan.
“Dia selalu bantu keluarga dari segi kewangan, sara bantu pelajaran adik-adik, kalau saya memerlukan duit dia selalu hulur.
“Dia anak kedua daripada sembilan adik-beradik, biasalah dia abang mesti tegas dengan adik-adik,”katanya ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong di sini hari ini.
Mohamad Amir, 44, merupakan juruterbang helikopter Fennec (M502-6) adalah seorang daripada 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi dua helikoper bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Mohamad berkata, isterinya, Napkiah Ahmad, 71, masih terkejut dengan berita kehilangan Mohamad Amir.
Ujarnya, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul pada 1 Syawal lalu sempena hari raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, adik mangsa, Marhamah Mohamad, 36, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada isteri Allahyarham Mohamad Amir, Marliyati Basri pada tengah hari tadi memaklumkan kemalangan menimpa Pegawai Memerintah Skuadron 502 itu.
“Saya dapat panggilan daripada kakak ipar dalam tengah hari beritahu abang Amir ‘crash’ (kemalangan), saya ingatkan kemalangan jalan raya biasa, rupanya kemalangan helikopter.
“Setiap tahun abang sertai latihan lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM, tidak sangka ini latihan raptai terakhir abang Amir.
“Abang sudah menyertai TLDM lebih 20 tahun dan menjadi inspirasi kepada saya terlibat dengan TLDM,”katanya ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong di sini hari ini.
Menyifatkan arwah seorang yang tegas, Marhamah mengakui abangnya itu seorang yang mengambil berat dan membantu menanggung perbelanjaan persekolah adik-adiknya.
Jenazah Allahyarham Mohamad Amir dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong di sini, esok.-KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source