Kaum India tidak pernah dipinggir Madani – PM
SHAH ALAM – Kebajikan dan nasib kaum India di negara ini tidak pernah sesekali dipinggirkan oleh Kerajaan Madani selepas lebih setahun pentadbirannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan telah merangka pelbagai program bagi membantu komuniti itu selama ini.
Menurutnya, pelaksanaan semua inisiatif yang bersifat universal itu meliputi keseluruhan kaum yang bersesuaian dengan agenda Malaysia Madani.
“Sebagai contoh, kemiskinan tegar hampir keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum telah dinoktahkan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.
“Kalau saya tidak lakukan apa-apa untuk membantu komuniti India, saudara ada hak ‘menikam’ saya. Saya hanya peduli kepada majoriti yang berada di bawah.
“Sebab itu saya kata kena noktahkan kemiskinan dan dari segi nisbah di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, paling banyak mendapat manfaat adalah masyarakat India. Saya tidak lihat kaum, kalau mereka miskin tegar, mereka harus dibantu,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa kelima Dr. Ambedkar di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, petang tadi.
Konvensyen selama dua hari sempena kelahiran mendiang bekas Menteri Undang-Undang India itu dihadiri 1,500 orang termasuk delegasi luar negara seperti India, Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Arab Saudi, dan United Kingdom.
Beliau mengulas dakwaan dan kritikan segelintir pihak termasuk pemimpin kaum itu kononnya kerajaan tidak melakukan apa-apa bagi membela nasib mereka.
Menurut Anwar, inisiatif disediakan kerajaan bukan saja menumpukan isu kemiskinan malah meliputi pendidikan, keusahawanan dan belia.
“Sebagai contoh, puluhan juta ringgit diperuntukkan bagi pembinaan beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) baharu termasuk menambah baik sekolah sedia ada di seluruh negara.
“Selain itu, kerajaan memudahkan lagi kemasukan pelajar kaum India bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan menambah jumlah pekerja dalam Petronas,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat bagaimanapun mempunyai hak untuk bersuara dalam memberi kritikan dan cadangan kepada kerajaan.
“Saya sudah lebih setahun menjadi Perdana Menteri bukan untuk satu kaum namun semua rakyat Malaysia. Ini adalah proses dan beri kami masa. Kita kena bekerja bersama-sama dan sebagai satu pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source