‘Semua sudah tiada’ – Kosmo Digital
TANJUNG MALIM – “Semua sudah tiada,”.
Itu reaksi Attar Azim Syukran Jamil, 9, selepas diberitahu yang ibu bapa dan dua adiknya maut dalam kemalangan di Kilometer 76.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai di Kelantan, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang itu, kereta jenis Perodua Myvi dinaiki Attar Azim bersama empat ahli keluarga lain bertembung dengan kereta Nissan March dipandu lelaki warga Thailand berusia 39 tahun yang memasuki laluan bertentangan.
Nahas tersebut mengakibatkan bapa kanak-kanak terbabit, Syukran Jamil Ab. Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun serta bayi mereka, Lufya Adeena berusia setahun maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi anak pasangan itu, Ahya Rafiqi, 6, pula disahkan meninggal dunia pada 3.15 petang semalam ketika dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
Menurut ibu saudara kanak-kanak itu, Umi Salwa Ab. Hamid, 40, Attar Azim pada mulanya tidak percaya dan hanya menganggap berita tersebut sebagai gurauan ketika diberitahu oleh datuk di sebelah ibunya semalam.
“Semalam, dia (Attar Azim) macam tak percaya dan ingat main-main tapi bila pak longnya beritahu lagi, dia pandang ke atas dan mengeluh.
“Bapa saudaranya ada tanya kenapa mengeluh sebelum dijawab ‘semua sudah tiada’. Reaksinya ketika itu hanya tersenyum tapi kita tahu dia sebenarnya sedang menahan sebak,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Trolak Utara, Sungkai di sini hari ini.
Menurut Umi Salwa, berita mengenai kejadian itu diketahui ahli keluarga selepas bapanya dihubungi jururawat yang memperoleh nombor daripada telefon bimbit Attar Azim.
Katanya, ketika berita itu disampaikan, ibu bapanya tidak mampu berkata-kata kerana terkejut namun mereka reda dengan kejadian menimpa Syukran Jamil yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Ar-Raudhah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam.
“Kami adik-beradik memang rapat, malah Ame (Syukran Jamil) yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik sangat akrab dengan anak-anak saudara. Arwah seorang yang suka bergurau dan ceria.
“Dia juga mewarisi bakat abah dalam nyanyian. Selepas ini tiada lagi suaranya menghiburkan kami. Kalau dalam keluarga, memang dialah penghiburnya,” ujarnya.
Tambahnya, jenazah empat beranak itu dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara sebelum solat Maghrib.
“Attar Azim yang menerima rawatan di hospital sama telah dibenarkan keluar oleh doktor dan dia akan mengiringi jenazah ahli keluarganya untuk dikebumikan di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source