Anak-anak minta makanan di rumah jiran, ibu bapa khayal syabu
MELAKA – Lima beradik termasuk bayi berusia 10 bulan di Kampung Pernu dekat sini diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selepas ibu bapa mereka ditemui dalam keadaaan ‘lalok’ dipercayai di bawah pengaruh dadah jenis syabu.
Kesemua kanak-kanak terbabit iaitu dua perempuan dan tiga lelaki masing-masing berusia 10, 9, 5, 4, dan tiga bulan diselamatkan sepasukan Pelindung Daerah Melaka Tengah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, penyelamatan itu dibuat selepas pihak pelindung menerima aduan daripada Klinik Kesihatan Telok Mas pada 9 Januari lalu mengenai kes pengabaian kanak-kanak.
Jelasnya, ibu bapa kanak-kanak terbabit yang berusia 31 dan 40 tahun dilaporkan tidak membawa bayi mereka yang ketika kejadian berusia dua bulan ke klinik bagi pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi bayi.
“Susulan laporan itu, pelindung telah membuat lawatan ke rumah keluarga tersebut dan penyelamatan dibuat selepas ibu bapa mereka dikesan berada dalam keadaan ‘lalok’.
“Pasangan suami isteri itu ditahan AADK selepas hasil saringan ujjan air kencing dilakukan ke atas pasangan itu didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat dilakukan, anak-anak tersebut dipercayai tidak mendapat pengawasan dan pengawalan yang sepatutnya sehingga sering meminta makanan di rumah jiran berdekatan.
Kalsom berkata, kesemua mereka kini berada di bawah Perintah Jagaan Sementara di tempat selamat mengikut seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu di Rumah Kasih Tun Abdul Aziz, Durian Daun, dekat sini.-KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source