Baki tahanan lolos depot dipercayai berada di hutan, kampung
TAPAH – Polis percaya baki 91 orang warga asing yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, di sini, kelmarin masih berada di hutan sekitar Tapah dan Bidor selain bersembunyi di kawasan kampung.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, perkara itu berdasarkan kejayaan tangkapan sepanjang tiga hari operasi dijalankan sejak Khamis lalu.
“Beberapa siri tangkapan yang dilakukan pasukan operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini, berjaya menangkap 32 warga asing terdiri daripada 30 etnik Rohingya dan dua warga Bangladesh.
“Kesemua mereka ini diberkas di Kampung Batu Melintang, Bukit Tapah dan Kampung Bermin di Tapah selain Kampung Senta, Kampung Pos Gedong dan kawasan hutan di Bidor,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, sejak operasi mengesan dan menangkap kesemua 130 tahanan itu diaktifkan pada pukul 11.30 malam, Khamis lalu, seramai 39 warga asing berjaya ditahan.
Katanya, kesemua tahanan itu ditangkap hasil gerakan pencarian oleh pasukan polis dan maklumat orang ramai.
“Kita minta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi usaha mengesan kesemua baki tahanan berkenaan.
“Sebaliknya, jika mempunyai maklumat salurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Noor Irwan Abd. Ghani di talian 017-3168097 atau Bilik Gerakan IPD Tapah di talian 05-4011222,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot itu merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Bagaimanapun, seorang daripada tahanan berkenaan maut selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melarikan diri. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source