Wanita tular joli wang beli iPhone, curi kad debit ibu saudara didakwa
KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang tular kerana didakwa mencuri kad debit ibu saudara tirinya dan menyalahguna wang tunai RM8,200 untuk membeli telefon bimbit iPhone 14 Pro, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Nur Humaira Shanuk Haziki, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.
Pertuduhan utama, tertuduh didakwa mencuri kad debit kepunyaan Nor Farah Hanim Mohd. Alias serta melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang tunai RM8,200 tanpa pengetahuan ibu saudara tirinya.
Pertuduhan pilihan, Nur Humaira turut didakwa menyalahguna harta iaitu wang tunai dengan jumlah yang sama yang dikeluarkan daripada akaun RHB tanpa pengetahuan wanita itu.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di antara 23 Mac dan 24 Mac lalu di sebuah unit pangsapuri di Chow Kit di sini.
Bagi pertuduhan utama, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum dengan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan pilihan pula, Nur Humaira didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda dan sebatan.
Nadia membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin serta memerintahkan wanita itu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan kes itu disebut pada 18 Mei ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Terdahulu, pegawai pendakwa Asisten Supritendan, Nom Phot Prackdit tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Nur Humaira.
Tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dengan jumlah paling rendah sambil menyatakan dia akan dijamin oleh ahli keluarga.
Nadia: Kesalahan ini serius. Apa alasan kamu untuk mengurangkan jaminan? Kamu ada duit untuk membayar jamin? Umur kamu berapa dan kerja apa?
Nur Humaira: Saya berumur 21 tahun dan tidak buat apa-apa.
Nadia kemudian meminta kepastian sama ada tertuduh boleh mencari dua penjamin untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah kelak. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source